/Guy Fawkes Dan Gunpowder Plot

Guy Fawkes Dan Gunpowder Plot

Semalam, sekitar tahun 1605, Guy Fawkes, seorang lelaki yang wajah beliau kini digunakan sebagai topeng simbol protes, telah diberkas oleh pihak berkuasa di atas dakwaan khianat dan cubaan untuk membunuh Raja James I dan menteri-menteri lain dengan cara meletupkan bangunan Parlimen British yang terletak di tengah-tengah Kota London.

“Remember, remember! The fifth of November, the Gunpowder treason and plot; I know of no reason, why the Gunpowder treason should ever be forgot!”

Latar Belakang Guy Fawkes.

Guy Fawkes dilahirkan pada 13 April 1568 di bandar Stonegate yang terletak di York, England. Beliau merupakan anak ke dua daripada empat adik beradik kepada pasangan Edward Fawkes dan isterinya Edith Fawkes. Ibu bapa Fawkes merupakan kristian Protestan.

Walaubagaimanapun, pada tahun 1579, bapa Fawkes telah meninggal dunia. Ibu nya Edith beberapa tahun kemudian mengahwini seorang lelaki yang beragama kristian katolik iaitu Dionis Baynbrigge @ Dennis Bainbridge. Dikatakan bahawa pada masa ini Fawkes menukar agama beliau kepada kristian Katolik diatas pengaruh keluarga bapa beliau Dennis Bainbridge.

Setelah Fawkes tamat persekolahan, beliau berkhidmat dibawah Anthony Browne, 1st Viscount of Montagu. Namun Browne tidak gemar akan Fawkes dan beliau dipecat. Namun begitu, Anthony-Maria Browne, 2nd Viscount of Montagu kemudian mengambil Fawkes semula untuk berkhidmat setelah mewarisi pangkat daripada datuknya.

Pada Oktober tahun 1591, Fawkes menjual estet yang diwarisi dari bapa kandung nya Edward dan menuju ke benua Eropah untuk mengambil bahagian dalam “Perang 80 Tahun”. Beliau bersama-sama askar katolik Sepanyol berperang dengan Republik Belanda yang baru ditubuhkan dari tahun 1595 sehingga 1598.

Fawkes merupakan seorang tentera yang berani dan gagah di medan perang. Hasil daripada keberanian beliau, menyebabkan beliau segera mendapat pangkat. Pada tahun 1603, Fawkes telah disyorkan untuk naik pangkat kepada Kapten. Pada tahun yang sama, beliau mengembara ke Sepanyol dari Perancis untuk mendapatkan sokongan Sepanyol dalam pemberontakan katolik di England.

Walaupun kedatangan beliau disambut baik, cadangan Fawkes bagaimanapun ditolak monarki Sepanyol iaitu Raja Philip III.

Catesby dan Permulaan Komplot

Selepas kematian Ratu Elizabeth I pada tahun 1603, takhta England menjadi milik Raja James I. Walaupun beliau beragama kristian protestan, beliau juga merupakan anak lelaki kepada Ratu Mary I yang beragama katolik dan mempunyai hubungan baik dengan Sepanyol.

Atas sebab itu, pihak Sepanyol berat hati untuk memberi bantuan kepada pemberontak katolik yang ingin menggulingkan Raja James I. Perkara ini juga membawa kepada Perjanjian London pada tahun 1604, dimana England berjanji akan menghentikan bantuan kepada Belanda, dan Sepanyol berjanji menghentikan bantuan kepada Inggeris katolik yang ingin memberontak.

Perkara ini membantu meredakan ketegangan agama diantara penganut katolik dan protestan di England. Walaubagaimanapun, Raja James I masih berpegang kepada dasar “settlement” yang diperkenalkan Ratu Elizabeth I pada tahun 1559.

Dan ia adalah seperti berikut;

Untuk mencapai keseragaman dalam beragama, rejim Ratu Elizabeth I mengharamkan upacara katolik seperti berikut;

•Baptis, perkahwinan dan pengebumian cara katolik

•Mengamalkan kristian katolik menjadi suatu kesalahan di sisi undang-undang.

•Denda yang tinggi turut dikenakan kepada pesalah yang enggan menghadiri upacara di Gereja England.

•Mencetak atau mengimport buku katolik dianggap sebagai pengkhianatan.

•Paderi Katolik yang dilatih di luar negara akan dianggap pengkhianat, termasuk mereka yang membantu serta menyembunyikan mereka.

•Selain itu, individu yang bekerja dalam pentadbiran sama ada mereka di dalam parlimen sehingga la guru sekolah, perlu bersumpah menafikan kuasa Paus Katolik dan mengakui Ratu Elizabeth I sebagai ketua gereja.

Oleh itu, penganut katolik yang radikal, masih terus menerus berusaha untuk menggulingkan raja protestan tersebut. Pengkomplot utama adalah Robert Catesby, anak kepada keluarga bangsawan katolik. Walaupun tidak terkenal seperti Guy Fawkes, beliau adalah dalang utama dalam “Gunpowder Plot” yang dikenali hari ini.

Catesby kemudian mula merekrut bangsawan-bangsawan katolik lain dalam plot pembunuhan dan usaha untuk meletupkan bangunan parlimen. Mereka adalah Thomas Winter, John Wright, dan Thomas Percy. Winter kemudian mengembara ke Flanders untuk mendapatkan bantuan pihak Sepanyol, namun ditolak.

Di Sepanyol, Winter bertemu Guy Fawkes seorang tentera dan rakan sekolah kepada John Wright. Seakan takdir, Fawkes juga mahir dalam penggunaan serbuk peledak. Pada Mei 1604, mereka berlima kemudian membuat perjumpaan di sebuah rumah penginapan “Duck and Drake Inn” yang terletak di London, dan bersumpah untuk setia bersama serta mengekalkan rahsia komplot mereka.

Waqaf Saham

Bulan-bulan berikutnya, ‘buah catur’ rancangan mereka sudah mula bergerak. Percy kemudian berpindah ke sebuah rumah berdekatan bangunan parlimen manakala Fawkes bersama-sama beliau berlakon seolah-olah beliau hamba kepada Percy dan menukar nama beliau kepada John Johnson.

Pada masa ini, mereka mula mengumpulkan serbuk peledak. Dalam usaha untuk mendapatkan dana, mereka kemudian turut merekrut ahli baru iaitu Robert Keyes, Robert Winter, John Grant, Christopher Wright, dan Thomas Bates.

Pada Mac 1605, Percy menyewa sebuah bilik stor dibawah Istana Westminster. Serbuk peledak kemudian terus disimpan di bilik stor tersebut. Kemudian, 3 individu kaya dan berpengaruh iaitu Ambrose Rookwood, Francis Tresham, dan Sir Everard Digby turut bersama-sama dalam konspirasi tersebut, menjadikan jumlah pengkomplot 13 orang kesemuanya.

Beberapa kali mereka mencuba untuk melakukan serangan, tetapi disebabkan wabak yang melanda England pada waktu itu, sesi parlimen seringkali ditangguhkan. Ianya pada November 1605, barulah keadaan sesuai dan sesi parlimen telah ditetapkan pada 5 November. Walaupun dengan 13 orang pengkomplot, rancangan khianat ini kekal menjadi rahsia, sehinggalah Lord Monteagle menerima surat misteri.

Pendedahan Komplot

Situasi tegang di England pada lewat Oktober tahun 1605, seorang bangsawan Inggeris, Lord Monteagle menerima sepucuk surat misteri. Lord Monteagle bersama bangsawan, menteri, dan juga Raja James I dijadualkan untuk menghadiri pembukaan sesi parlimen yang akan berlangsung beberapa hari kemudian iaitu pada 5 November 1605.

Surat yang tanpa pengenalan dan tandatangan itu terus memberitahu akan bahawa yang akan dihadapi Lord Monteagle sekiranya menghadiri sesi pembukaan parlimen pada hari itu.

“My lord, out of the love I bear to some of your friends, I have a care of your preservation, therefore I would advise you as you tender your life to devise some excuse to shift of your attendance at this parliament . . . for though there be no appearance of any stir, yet I say they shall receive a terrible blow.”

Sebagai penutup, penghantar misteri itu menggesa Lord Monteagle untuk membakar surat tersebut setelah membaca kandungannya.

Lord Monteagle, walaupun seorang kristian katolik, tidak berbuat begitu. Tindakan ini akhirnya menyelamatkan beliau dari menerima nasib yang sama seperti pengkhianat lain yang berkomplot untuk menggulingkan Raja James I. Lord Monteagle kemudian bertindak memberikan surat itu kepada Robert Cecil, Ketua Menteri kepada Raja James I.

Sebelum ini, ramai di antara pegawai kerajaan inggeris protestan telah lama sedar bahawa terdapat gerakan inggeris katolik untuk menggulingkan monarki protestan, iaitu Raja James I. Inggeris katolik ingin membentuk sebuah rejim monarki katolik baru dengan bantuan dan dana daripada luar negara. Surat amaran ini hanya membuktikan bahawa sangkaan mereka benar sama sekali.

Surat ini akhirnya mendapat perhatian Raja James I yang pada mulanya meragui bahawa terdapat perancangan untuk membunuh baginda. Meskipun raja itu berasa skeptik akan ancaman tersebut, pada 4 November 1605, “Earl of Suffolk” iaitu Panglima Thomas Howard melakukan pemeriksaan di Istana Westminster dan persekitaran sekelilingnya, tempat dimana Parlimen England akan berkumpul pada keesokan hari.

Beliau bagaimanapun melaporkan bahawa tiada apa yang menimbulkan syak wasangka, kecuali akan kewujudan sebuah bilik stor yang mempunyai kuantiti tinggi kayu api.

Lewat malam pada hari yang sama, seorang lagi pegawai kerajaan berpangkat rendah iaitu Sir Thomas Knyvett, melakukan pemeriksaan buat kali ke dua pada bangunan-bangunan sekeliling parlimen. Beliau curiga akan sebuah bilik stor yang sama seperti yang dilaporkan Panglima Thomas Howard.

Tetapi, Sir Knyvett memerhatikan cara penjaga bilik stor tersebut berpakaian sedikit aneh. Penjaga itu bukan berpakaian seperti seorang pekerja stor seperti kebiasaannya, kerana diperhatikan penjaga itu memakai kasut but dan jubah mantel. Pakaian yang selalunya dipakai mereka yang ingin melarikan diri menaiki kuda.

Sir Knyvett kemudian memeriksa stor itu dan mengarahkan anggota beliau untuk mengalihkan timbunan kayu api tersebut. Ia pada masa ini Sir Knyvett dan anggota beliau menemui sejumlah 36 tong berisi serbuk peledak disembunyikan disebalik timbunan kayu api itu.

Pada masa yang sama, ‘pekerja’ stor yang sedang menjaga stor tersebut diberkas pasukan keselamatan dan memberikan nama beliau sebagai John Johnson. Hasil pemeriksaan mendapati bahawa lelaki itu mempunyai fius untuk menyalakan serbuk peledak.

Sir Knyvett dan anggota beliau menyedari bahawa mereka telah merungkai sebuah konspirasi untuk meletupkan bangunan parlimen bersama-sama Raja James I, keluarga Diraja, menteri dan pegawai kerajaan tertinggi.

Pembunuhan tersebut bertujuan untuk menggulingkan monarki protestan seterusnya menabalkan anak perempuan Raja James I iaitu Elizabeth yang dikatakan tidak akan menghadiri sesi di parlimen pada 5 November, sebagai ‘penguasa boneka’ rejim katolik yang baru.

Diseksa

Fawkes dapat mengelak dari mendedahkan rahsia ketika disoal siasat, namun situasi itu tidak bertahan lama apabila Raja James I membenarkan pegawai Menara London untuk menyiksa Fawkes bagi mendapatkan maklumat. Fawkes akhirnya mengalah dan mendedahkan rahsia serta nama-nama mereka yang terlibat.

Dengan tertangkapnya Fawkes, ramai diantara pengkomplot sudah melarikan diri. Namun, tentera dan penyiasat Raja James I yang cekap dengan segera dapat mengesan mereka. Catesby, Percy, dan Christopher Wright terbunuh setelah terlibat dalam tembak-menembak dengan tentera Raja James I di bandar Staffordshire di utara England.

Selebihnya ditangkap dan dibawa ke London kemudian didakwa atas kesalahan pengkhianatan kepada raja dan negara. Kecuali Francis Tresham, beliau mati di penjara sebelum dibicarakan.

Selebihnya akan dibicara dan disabitkan kesalahan. Fawkes dan pengkomplot lain dijadualkan akan dihukum mati pada Januari 1606. Ada diantara mereka yang telah dihukum gantung, ditarik kuda sehingga mati dan badan dipotong kepada empat bahagian.

Fawkes bagaimanapun terlepas dari kesakitan hukuman seksaan apabila beliau melompat ketika digantung mengakibatkan beliau patah tengkuk dan mati. Tetapi mayat Fawkes yang tidak bernyawa itu masih dipotong kepada empat bahagian dan dipamerkan di khalayak ramai sebagai amaran kepada mereka yang ingin berlaku khianat.

*Depa gantung, kemudian depa potong tali. Lepastu buat seksaan lain. Ada yang isi perut dikeluarkan semasa masih hidup.

Legasi

Raja James I yang terlepas daripada cubaan membunuh itu kemudian meluluskan akta parlimen iaitu “Thanksgiving Act of 1606”. Akta itu memerintahkan setiap gereja untuk menyampaikan khutbah pada tarikh 5 November sebagai berterima kasih pada Tuhan di atas penyelamatan Raja James I dari komplot katolik itu.

Dengan peredaran masa, hari “thanksgiving” itu berubah menjadi Hari Guy Fawkes, kadangkala dipanggil Malam Unggun Api (“Bonfire Night”) yang disambut pada 5 November setiap tahun di serata United Kingdom. Selain daripada membuat unggun api, mereka turut menyalakan bunga api dan membakar patung Guy Fawkes.

Walaupun bukan dalang utama kepada komplot, Guy Fawkes menjadi wajah kepada perlakuan pengkhianatan, komplot serta protes. Lebih-lebih lagi apabila watak komik “V for Vendetta” iaitu “V” memakai topeng wajah Guy Fawkes dalam penentangan beliau kepada kerajaan Fasis England dalam siri komik tersebut.

Selain itu, topeng Guy Fawkes juga dipakai oleh kumpulan “hacktivist” seperti Anonymous dan Occupy. Menjadikan Guy Fawkes simbol kepada “Postmodern-anarchism”.

Rujukan:

Guy Fawkes, English Conspirator. Retrieved from: https://www.britannica.com/biography/Guy-Fawkes

Who was Guy Fawkes, the man behind the mask? Retrieved from: https://www.nationalgeographic.com/…/history-the-explosive…/

Bonfire Night 2018: Why Do We Celebrate Bonfire Night? Retrieved from:https://www.express.co.uk/…/bonfire-night-2018-why-do-c…/amp